Powered By Blogger

Wednesday, 11 January 2012

PERMAINAN TRADISIONAL

Sepak Raga

Permainan sepak raga telah sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pada masa itu permainan ini dimainkan oleh golongan bangsawan.Rakyat Biasa juga menggemari permainan ini. Pada masa sekarang sepak raga lebih dikenali dengan nama sepak takraw. Ia bukan hanya dimainkan oleh orang Melayu sahaja tetapi bangsa-bangsa lain, malah telah dikenali di seluruh. Bola sepak raga diperbuat daripada bilah-bilah rotan yang dianyam bulat seperti raga sebesar isi buah kelapa dua atau tiga lapis. Permainan ini dimulakan dengan salah seorang pemain melambung bola kepada rakannya dengan tangan. Rakannya itu akan menimang bola itu dengan kakinya sekali atau beberapa kali, sebelum menendangnya ke arah pemain lain. Pemain-pemain yang membentuk lingkungan atau bulatan itu mestilah bergilir-giliran menimang bola itu dan mengawalnya supaya tidak jatuh ke bumi. Jika bola itu jatuh, permainan dalam pusingan tersebut ditamatkan.



Laga Biji Getah

Bagi kanak-kanak bermain tidak kira apa jenis dan caranya tetap mengisi masa dan menggembirakan mereka. Ada permainan yang tidak memerlukan tempat dan waktu yang khusus. Ada satu objek di ladang getah yang mencetuskan idea untuk dijadikan permainan iaitu biji getah. Tidak sukar untuk mendapatkannya, lebih-lebih lagi jika bertepatan musim biji getah luruh.

Dalam permainan laga biji getah ini, kekuatan dan ketahanan tempurung dan ketahanan inilah yang hendak diuji. Permainan laga biji getah ini hanya sesuai untuk kanak-kanak lelaki sahaja. Ini kerana untuk memecahkan biji getah itu memerlukan tenaga yang banyak dan tapak tangan yang kuat. Dari segi teknik, permainan ini agak pasif tetapi mendedahkan kepada kecederaan tapak tangan sekiranya kurang berhati-hati. Permainan ini hanya memerlukan kekuatan tapak tangan semata-mata. Berdua pun sudah memadai untuk menyempurnakan permainan ini. Namun penglibatan lebih ramai pemain pastinya lebih menyeronokkan.

Para pemain masing-masing menyediakan buah getah yang terbaik di antara semua buah getahnya dipanggil "jaguh". Bisanya biji getah yang kuat adalah padat isinya, bersaiz kecil dan bersudut sedikit. Bucu ini nanti akan menjadi "penukul" untuk membinasakan biji-biji getah pencabar. Bagi menentukan siapa yang dahulu bermain, "jaguh" masing-masing akan dicabar dalam ujian ke atas 10 biji getah yang diberi secara rawak oleh pengadil. Pemilik "jaguh" yang berjaya menewaskan banyak biji getah adalah layak menduduki tempat terawal bermain.

Pemain yang berhajat untuk berlawan hendaklah menyediakan seberapa banyak biji getah yang mungkin. Mata diperolehi apabila "jaguh" masing-masing berjaya memecahkan satu biji getah yang diberi oleh pengadil. Pengadil akan memberi mata cara menghadiahi 1 biji getah. Biji getah yang ini bukan untuk diuji tetapi hendaklah di simpan sebagai bukti pungutan mata. Jika "jaguh" tewas kepada getah pencabar, peluang bermain terpaksa di serahkan kepada pemain lain.

Bagi mengelakkan penipuan, pengadil akan mengenal pasti yang mana biji getah pencabar. Biasanya pengadil menanda biji getah pencabar dengan cara mengikisnya sedikit. Ada juga pemain yang nakal dan cuba menipu untuk menang. Penipuan dibuat dengan cara melagakan biji getah pencabar dengan anak batu yang disembunyikan dalam genggaman. Ini menjadi tanggungjawab pengadil untuk mengelakkannya. Begitulah seronoknya permainan ini. Ibubapa tentunya tidak keberatan mengizinkan anak-anak menghabiskan masa dengan permainan ini. 



Batu Selambut

Selambut atau seremban adalah satu permainan yang mampu mengisi matlamat tersebut. Selambut adalah sebutan di sebelah Utara dan Pantai Timur Semenanjung. Di negeri-negeri Pantai Barat permainan ini dikenali sebagai Seremban. Memandangkan kaedah bermainnya yang lembut nyata permainan ini sesuai untuk kanak-kanak perempuan. Agak janggal jika dimainkan oleh kanak-kanak lelaki walaupun penyertaan mereka 
biasa dilihat. Permaian selambut agak pasif. Dilihat dari segi masa bermain, permainan ini tidak memerlukan waktu yang khusus. Malah permainan ini tidak memerlukan penumpuan serius sewaktu bermain seperti bermain permainan-permainan lain. Permainan selambut tidak memerlukan kawasan yang luas. Asalkan ada permukaan rata, permainan ini pasti boleh dimainkan. Permainan ini boleh dimainkan di dalam rumah, serambi, di halaman, di kolong rumah, malah di taman sekalipun.

Namun sebagaimana permainan lain, permainan ini juga ada aspek kemahiran yang hendak ditonjolkan. Kemahiran yang diperlukan dalam permainan ini adalah kemahiran melambung dan menyambut anak batu dengan gaya tersendiri lagi lembut. Pendek kata tangan si pengasar memang tidak menjadi untuk bermain selambut.

Setiap pemain bermain dengan cermat dan berhati-hati kerana konsep permainan ini adalah mengumpul mata. Sering dirasakan, bermain selambut dengan peserta yang sedikit jauh lebih baik dan menyeronokkan berbanding dengan bermain beramai-ramai. Barangkali maksimum 5 orang sudah dianggap ramai kerana undang-undang secara giliran.

Selambut memerlukan set anak batu berjumlah 5 - 10 butir dan inilah satu-satunya alat dalam permainan ini. Jumlah anak batu adalah ditentukan oleh pemain. Jika sepakat, hendak menggunakan anak batu, maka permainan kali itu menggunakan 7 anak batu sahaja.

Setelah mengetahui giliran masing-masing, permainan pun dimulakan. Anak-anak batu yang tadinya berlonggok akan dikira. Tujuannya adalah untuk memudahkan mengutip anak-anak batu itu di dalam permainan nanti. Dalam set anak batu itu, ada sebutir anak batu khas yang dipanggil "ibu". Khas di sini memudahkan mengutip anak-anak batu itu di dalam permainan nanti. Dalam set anak batu itu, ada sebutir anak batu khas yang dipanggik "ibu". Khas di sini bermaksud batu itu memiliki ciri-ciri tersendiri terutama untuk membezakan dengan batu-batu lain.

Teknik-teknik mengutip anak batu adalah seperti berikut:

* Kaut satu per satu
* Kaut beransur-ansur. Misalnya kali pertama 1 butir, kali kedua 2 butir dan seterusnya sehingga habis dikaut. 

Tidak dapat dinafikan memang ada gangguan dalam permainan selambut terutamanya apabila peserta yang menunggu giliran berasa bosan kerana sudah lama menunggu. Selalunya ketika asyik melangut memerhatikan pergerakan batu itu, diam-diam pemain lain melakukan sebotaj. Biasanya cara yang dilakukan ialah mengalih anak batu. Apabila anak-anak batu dialih posisinya, si pemain pasti gelabah dan hilang tumpuan kerana terkaut lantai kosong. Gangguan kedua ialah apabila pemain lain menyambut batu ibu yang dilambung, atas gangguan ini biasanya pemain mahu mengulang semula permainannya. Namun pastinya tumpuan si pemain sudah terjejas. Begitulah pemain selambut. Namun masa beredar dan permainan ini sudah diubahsuai mengikut citarasa pemain masa kini.

Demikianlah pemain selambut. Sekali imbas nampak pasif dan mudah. Jika diteliti pemain ini memerlukan kemahiran. Pemain mesti menjangka masa di samping pantas dan cekap. Saksikan sendiri bagaimana pemain selambut mengutip anak batu tanpa memandang ke lantai.



Gasing

Gasing popular di Semenanjung terutama di Kelantan. Orang dewasa yang memajukan seni permainan ini, bagi kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiz yang kecil dan mudah dipermainkan.

Jenis-jenis Gasing

Jenis gasing yang terdapat di Malaysia termasuk gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar, gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang dan gasing pinang.

Membuat Gasing

Kayu yang paling sesuai dari spesis merbau, seperti merbau tanduk, merbau darah, merbau johol dan merbau keradah, ianya mudah dilarik tetapi tidak mudah serpih. Selain itu kayu leban tanduk, limau, bakau, koran, sepan, penaga, keranji juga menjadi pilihan. Jenis kayu yang mudah didapati seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa sering digunakan untuk membuat gasing.

Kayu tersebut dilarik menggunakan alat pelarik, mengikut saiz dan bentuk gasing yang telah ditetapkan. Sebelum kerja melarik dimulakan besi paksi dibenamkan ke dalam kayu tersebut agar keseimbangan dari segi bulatnya dapat dilakukan ketika melarik.

Setelah gasing disiapkan maka kerja-kerja terakhir dilakukan, seperti melilitkan timah pada kepak gasing tadi agar menambah berat lagi gasing itu hingga seberat lima kilogram dan juga tak mudah serpih. Untuk menambah indah rupa parasnya maka tanduk kerbau dipasangkan dibahagian kepala gasing serta dikilatkan dengan varnis. Ini terdapat pada gasing leper atau untuk gasing uri sahaja.

Cara Bermain

Gasing dimainkan dengan dua cara, iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanannya berpusing.

Gasing pinang dimainkan oleh kanak-kanak. Buah pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi paksi serta pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan.

Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit jambuhnya direnggut.

Pertandingan Gasing

Pertandingan gasing uri berbeza dengan gasing pangkah. Gasing uri lebih bersifat individual, manakala gasing pangkah bersifat kumpulan.

Gasing Uri

Dua orang pembantu diperlukan dalam pertandingan gasing uri; seorang memegang cokok dan seorang lagi memegang lopok. Cokok diperbuat daripada kayu dan berbentuk leper seperti sudip, kira-kira 60 cm panjang. Lopok juga diperbuat danipada kayu tetapi berbentuk torak atau pun seperti pancang, 45 cm panjang. Di hujung lopok itu dilekatkan logam bergaris pusat 4-5 cm. Tempat permainan atau arena gasing dipanggil bong. Bong berbentuk bulat, bergaris pusat kira-kira 3.25 meter, dan dibuat di atas tanah yang keras.

Gasing yang berpusing dipindahkan oleh jong (juru) cokok ke atas lopok yang telah dicacakkan di atas tanah. Gasing yang berpusing paling lama dikira pemenang pertandingan. Biasanya gasing uri berupaya berpusing lebih daripada satu jam.

Gasing Pangkah

Gasing jenis ini pula dimainkan secara berkumpulan. Setiap pasukan terdiri daripada dua hingga lima orang. Untuk menentukan pasukan menanti dan pasukan memangkah, peraduan uri diadakan, antara gasing-gasing yang mewakili pasukan-pasukan yang mengambil bahagian.

Pasukan yang gasingnya paling lama berpusing menjadi pasukan memangkah pertama. Permainan dimulakan dengan pasukan menanti melemparkan gasing mereka ke tengah-tengah bong. Kemudian pasukan memangkah pula memangkah gasing mereka. Tiap-tiap gasing pasukan memangkah mesti mengetuk salah satu gasing pasukan menanti. Tujuannya ialah sama ada memecahkan gasing lawan ataupun sekurang-kurangnya menjejaskan keseimbangan pergerakannya supaya cepat berhenti berpusing.

Dalam perlawanan gasing ini, setiap pasukan mempunyai jong cokok. Selesai pemangkahan, gasing-gasing di dalam bong itu dicokokkan dan dipindahkan ke atas lopok, seperti dalam pentandingan gasing uri. Jika salah satu gasing pihak menanti berpusing lebih lama, pihak itu tidak diberi markah tetapi ditukarkan menjadi pemangkah. Pasukan yang memangkah tadi kini menjadi pasukan menanti pula.



Congkak

Congkak yang dipercayai berasal daripada dunia Afrika atau Arab, bergantung kepada teori mana yang anda percayai. Bagaimanapun, bukti tertua yang dijumpai oleh cari gali purba yang dibiayai oleh Persatuan National Geographic menjumpai kepingan batu kapur yang mempunyai dua liang selari bertarikh semenjak 5000 hingga 7000 SM di masa kini Jordan.

Dari Timur Tengah, permainan ini tersebar ke Afrika. Congkak tersebar ke Asia melalui pedagang-pedagang Arab.

Di Asia Tenggara, congkak mungkin berkembang dari Melaka memandangkan negeri ini merupakan pusat perdagangan pada waktu dahulu.

Kanak-kanak di Kepulauan Caribbean juga bermain congkak. Congkak dipercayai sampai ke sana melalui perdagangan hamba. Di sana, congkak dikenali sebagai warri atau awari. Di Indonesia, congkak dikenali dengan nama congklak, di Filipina, sungka.

Pada zaman dahulu, golongan istana bermain congkak dengan menggunakan papan congkak yang berukir mewah, sementara di kalangan rakyat jelata, ia sekadar dimainkan dengan mengorek lubang di dalam tanah. Pada hari ini, congkak dimainkan di seluruh dunia.

Congkak begitu popular dan diminati sehingga peminat-peminatnya mencipta pelbagai laman web di internet. Dalam laman-laman web ini disenaraikan pelbagai maklumat tentang congkak dalam budaya dan bangsa di seluruh dunia. Terdapat juga permainan congkak dalam talian.
[sunting] Asas permainan

Permainan congkak melibatkan pengiraan. Mereka yang cekap mencongak mempunyai kelebihan mengumpul mata dan seterusnya memenangi permainan.
Papan congkak berbentuk bangau menyudu.

Dalam permainan congkak, terdapat dua bahan iaitu papan congkak dan buah congkak. Papan congkak boleh diperbuat daripada pelbagai jenis kayu dan terdapat lima atau tujuh lubang sebaris yang dikenali sebagai 'kampung' dan di kedua-dua hujungnya terdapat lubang ibu yang dikenali sebagai 'rumah'. Panjang papan congkak tujuh lubang biasanya sekitar 80 cm dan lebanya 18 cm. 

Dalam permainan ini, pemain akan memulakannya dengan serentak. Mereka akan mengambil buah congkak dan dimasukkan secara satu persatu buah congkak ke dalam setiap 'kampung' menuju ke rumah masing-masing menurut arah pusingan jam, sehingga salah seorang berhenti di lubang yang kosong dan dianggap mati. 'Rumah' kepunyaan sendiri terletak di lubang hujung sebelah kiri pemain. Pemain yang seorang lagi akan terus berjalan sehingga dia berhenti di lubang yang kosong. Dan selepas itu setiap pemain akan bergilir berjalan sehingga buahnya mati. Setiap pemain akan meneruskan permainan sehingga kehabisan buah congkak, dan pemain akan mengisi lubang dengan buah yang terdapat dalam lubang ibu. Pemain yang tidak cukup buah akan ditutup lubangnya, dan pemain yang menang dalam giliran sebelumnya akan memulakan permainan. Ini akan diulang sehingga salah seorang pemain tidak cukup buah bagi mengisi satu lubang sekalipun dan dianggap kalah, atau apabila kedua-dua pemain sudah bosan.

Sekiranya pemain telah membuat satu pusingan, iaitu melepasi lubang ibu dan kembali ke lubang sebelah pemain, ia boleh mengambil buah di sebelah lubang bertentangan sekiranya ia mati di sebelah sendiri. Ini dikenali sebagai "tembak".


Berikut merupakan peraturan permainan congkak yang paling biasa:

1. Dua orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak, dimulakan dengan kedua-dua pemain serentak mencapai buah di kampung masing-masing dan memasukkan buah satu demi satu di dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.
2. Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti, sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut, hanya selepas membuat satu pusingan.
3. Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati.
4. Sekiranya tidak terdapat sebarang buah di kampung pemain sungguhpun giliran berada dipihaknya, maka giliran untuk menggerakkan buah akan berpindah kepada pihak lawan.
5. Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap terbakar. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.

Walaupun permainan congkak kelihatan sama dengan permainan lain yang berasaskan lubang dan buah seperti Manchala dan Sungka, terdapat beberapa perbezaan dari segi peraturan.

Perbezaan utama ialah semasa permulaan permainan di mana permainan congkak bermula serentak antara kedua-dua pemain. Pengagihan buah dalam permainan congkak juga bergerak mengikut arah jam berbanding dengan permainan lain yang bergerak secara melawan arah jam.
[sunting] Cara membuat congkak
Congkak plastik moden.

Lazimnya dibuat dari kayu hutan seperti merbau, keruing, balau dan sebagainya. Terdapat juga papan congkak yang dibuat dari kayu rambutan, nangka dan sebagainya, mengikut kemampuan si tukang pembuat congkak.

1. Kayu ditebang menggunakan kapak dan dipotong mengikut kepanjangan papan congkak yang bergantung kepada lubang rumah yang dihasilkan kelak.
2. Kayu yang masih buah dibelah dua bahagian. Hanya satu bahagian sahaja yang diperlukan dalam membuat congkak.
3. Setelah dibelah, gergaji digunakan untuk mengerat lebihan kayu yang tidak terpakai. Parang atau pahat digunakan untuk melicinkan batang kayu tersebut.
4. Kayu tersebut akan dipahat untuk membuat lubang. Lubang-lubang ditebuk dalam dua baris dan dinamakan ‘kampung’ yang mempunyai jumlah bilangan tertentu.
5. Ditebuk satu lubang besar di kedua-dua hujung yang dikenali sebagai ‘rumah’.
6. Pahat bermata halus digunakan untuk melicinkan lubang tersebut. Ini penting supaya tidak menggelikan jari-jari pemain sewaktu bermain.
7. Setelah siap, papan tersebut akan diukir dengan pelbagai hiasan seperti bentuk tumbuh-tumbuhan, kosmos, geometri dan sebagainya.
8. Papan congkak divarniskan dengan warna perang kekuningan, perang kemerahan, perang atau hitam.

Congkak juga dihasilkan daripada logam ataupun tanah di kawasan pendalaman. Tempurung kelapa digunakan supaya tangan tidak kotor terkena tanah.

Congkak zaman moden kebanyakkannya diperbuat dengan plastik keras atau kayu mampat, dan dengan pelbagai jenis rekaan. Congkak juga diubahsuai menjadi mudah alih (portable), dan boleh dibimbit untuk dibawa ke mana-mana sahaja.

Buah congkak lazimnya menggunakan biji guli, biji plastik, batu kecil, dan biji getah. Namun demikian, buah congkak tidak mempunyai bentuk yang tetap; apa-apa sahaja yang agak bulat dan sesuai boleh digunakan.

No comments:

Post a Comment