Sinopsis Drama Bersiri Terbaru Dingin Lavenda Slot Zehra TV3
Sinopsis: Setelah Drama Tahajjud Cinta habis tayangannya, muncul pula drama bersiri terbaru pula yang bertajuk Dingin Lavenda dalam slot Zehra yang akan berlangsung setiap hari Jumaat jam 9.00 malam mulai 9 Disember 2011 nanti.
Drama Dingin Lavenda ini dibarisi dengan pelakon terkenal seperti Eira Syazira, Zarina Zainordin, Faralyna Idris, Salleh Mahfooz dan Azlee Khairi. Ia hasil terbitan Layar Consult Sdn Bhd. Pengarahnya Amy Maziah dengan hasil skrip dinukil oleh Zabidi Mohamed. Menariknya, drama ini menjalani penggambaran di Melbourne, Australia.
Kisah Dingin Lavenda drangkumkan dalam 13 Episod yang berkisar tentang persahabatan Jannah (Eira Syazira), Nana (Faralyna Idris) dan Murni (Zarina Zainordin. Mereka bakal melanjutkan pelajaran mereka di Melbourne, Australia selepas tamat Kursus Persediaan Pelajar di universiti tempatan Malaysia.
Seawal pengenalan, Jannah dan Murni kurang senang dengan sikap Nana yang gemar berlagak dengan barang-barang mahalnya. Meskipun begitu pewangi Lavenda yang digunakan oleh Nana amat menarik perhatian Jannah dan Murni.
Dalam masa yang sama, seorang Mat saleh bernama Matthew (Salleh Mahfooz) yang baru berjinak-jinak terhadap agama Islam sering bertanyakan soalan-soalan kepada Nana.
Hubungan Jannah, Nana dan Murni rapat disebabkan Nana bersetuju untuk mengikut mereka menghabiskan cuti semester di kampung. Di situ Nana belajar cara hidup sederhana dan mendalami agama. Selepas setahun, mereka sedia bertolak ke Melbourne. Jannah yang kuat pegangan agamanya berjaya membimbing Nana berubah menjadi seorang wanita solehah.
Namun perangai Murni mula berubah menjadi sensitif dan kebudak-budakan selepas tiba di Melbourne. Sementara Jannah selalu berhubung dengan tunangnya,Azhar (Azlee Khairi)melalui kiriman emel. Kata-kata Azhar memberi semangat dan dorongan kepada Jannah bagi berdepan dengan bermacam cabaran baru di bumi asing.
Tanpa diduga, Jannah bertemu semula dengan Matthew di Melbourne. Matthew banyak menghabiskan masa bersama Jannah, Nana dan Murni kerana ingin mempelajari cara hidup Islam. Namun kemesraaan antara Matthew dan Nana telah menyebabkan Murni cemburu sehingga berlaku pergaduhan besar antara Murni dan Nana. Murni juga marah dengan Nana yang telah merampas Matthew daripadanya.
Akibat terlalu mengikut nafsu dan jiwa yang memberontak, Murni telah bersekedudukan dengan Megat dan berjinak-jinak di bar. Sementara, Nana yang telah menemui jodoh bersama Iskandar, Jannah pula berdepan dengan kekecewaan selepas Azhar beralih cinta kepada sepupunya, Munira.
Mungkinkah Jannah menerima lamaran Matthew yang telah memeluk agama Islam? Bagaimana pula dengan Murni yang semakin tenggelam dalam dunia gelapnya? Mujur Jannah yang tidak pernah berputus asa terus mencari Murni dengan tekad membimbing kawan baik mereka ke jalan yang sebenar. Berjayakah Jannah?
Saksikan kesudahan kisah 3 sahabat di drama bersiri hebat, Dingin Lavenda, setiap hari Jumaat jam 9.00malam

No comments:
Post a Comment